Cerita penuh seperti berikut;
Terima kasih. Ini cerita kami di bumi Viking ini.Ramadan kali ini merupakan Ramadan kedua kami di bumi Copenhagen ini. Dan insyaAllah bakal menyambut Hari Raya secara sederhana bersama kawan-kawan perantau Malaysia lain lagi pada tahun ini. Kebetulan Ramadan pada tahun ini jatuh pada musim panas, maka tempoh siang yang panjang menyebabkan umat Islam di sini berpuasa hampir 20 jam pada setiap hari. Bayangkan kami hanya ada kurang 4 jam untuk untuk berbuka, solat maghrib, isyak dan juga berterawih. Dan semua aktiviti tersebut dilakukan ketika kami dalam keadaan yang menahan mengantuk - 10 malam hingga 2 pagi. Bersahur pula, walau pun masih kenyang ketika berbuka, kami tetap menjamah demi keberkatannya.Menariknya tentang berpuasa ketika musim panas di sini, siang yang panjang membuka ruang untuk kami menumpukan ibadah bertadarus yang agak lama. Maka group-group tadarus lelaki dan perempuan ditubuhkan secara online melalui medium Skype. Melalui aktiviti ini, kami mengambil peluang untuk memperbetulkan bacaan, dan menghayati al Quran bersempena bulan penurunan kitab suci kita. Alah bisa tegal biasa. Lama kelamaan, kami semua dapat membiasakan diri dengan keadaan ini walaupun disibukkan dengan perjalanan hidup seharian. Tambahan pula cuaca Copenhagen yang tidak menentu - kerap hujan dan mendung ketika musim panas, ini banyak mengurangkan bahang panas.Di sini tiada bazar Ramadhan. Apatah lagi nak borong kueh raya dari kedai-kedai online. Jadi pilihan yang ada hanyalah buat sendiri dengan rujukan Youtube dan blog-blog masakan. Ini rahsia, isteri saya pun belajar memasak di sini :) Hampir kesemua juadah berbuka di sini boleh dibuat secara generik mengunakan bahan mentah yang didapati dari gerai-gerai Asia. Saya sebut generik kerana ada bahan yang digantikan dengan bahan lain.Untuk persiapan Hari Raya nanti, warga Copenhagen telah menubuhkan satu kumpulan gerak-kerja untuk bersama-sama bergotong royong menyediakan juadah. Ya, walaupun jauh dari tanah air, kami memang serius dalam merayakan hari yang mulia ini. hehehhehe. Keluarga Pali dan Faezah bakal meyediakan ruang rumah untuk sambutan Aidilfitri pada tahun ini, kerana halaman rumah dia luas. Keluarga Arif dan Zana akan menyediakan lontong. Keluarga Kamarul dan Sazuan akan menyediakan sambal daging Negeri Sembilan. Keluarga Shahrul dan Hanisah bakal menganyam ketupat kelapa yang diimport dari Malaysia. Keluarga kami pula akan mengambil tender membuat lemang microwave pada tahun ini. Harapnya menjadi :) Keluarga-keluarga lain akan turut sama menyumbangkan juadah dan kueh raya mengikut tradisi negeri masing-masing seperti Terengganu, Sabah, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Kedah.Pengalaman paling manis pada tahun lalu adalah apabila kami sama-sama berbasikal ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Masing-masing mengenakan baju raya yang berwarna-warni. Tema berbasikal di ambil kerana bandar Copenhagen terkenal dengan budaya berbasikal. Memang menarik kerana Danish memandang kami dengan penuh keterujaan atau kepelikan.Walaupun seronok menyambut hari raya di sini, suasananya tidak semeriah sambutan di kampung. Ayah ibu dan keluarga di kampung tetap dirindui. Jadi dengan itu, saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan selamat berpuasa dan menyambut Aidilfitri buat yang mengenali. Semoga Ramadhan kali ini menjadi medan untuk kita mengislahkan hubungan sesama kita dan keriangan Syawal menjadi titik tolak untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama kita. Maaflah sekiranya terdapat salah dan silap. Kami tujukan salam ini buat keluarga di Yan, Kedah dan Jelapang, Perak serta guru-guru di SMKAY, JENAN. Tidak dilupakan keluarga serta sahabat dari group Whatsapp AnakCucu Tok Mah, Anak Menantu Roslawati, exSMKAY01, Biotech-to-be, UsrahUIA, BiFAST, dan Kita-sama2-tanya. Tidak dilupakan, pihak penaja Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Universiti Malaysia Pahang. Ikhlas dari kami; Fauzan Ahmad, Hidayah Arifin, Azkiya, Aufa dan baby in uterine, University of Copenhagen, Denmark.SELAMAT BERPUASA DAN MENYAMBUT AIDILFITRI
No comments:
Post a Comment