Tuesday, August 25, 2015

Rahsia si ayah dan anak kecil.

Kembara menggunakan tren dari Copenhagen ke Strasbough amat memenatkan. Namun hati saya tercuit melihatkan telatah si ayah dan si kecil (yang pada perkiraan saya kurang dari dua tahun) ketika melewati Karlsruhe. Kiri dan kanan basikalnya tersisip dua beg yang besar. Di tempat duduk belakang tersedia kerusi duduk yang amat selesa untuk anak kecilnya. Tafsiran saya, mereka berdua telah menempuhi hari yang panjang dengan berbasikal.

Saya masih memerhati di sebalik kaca mata hitam saya. Anak dan ayah berbual dalam bahasa yang saya tidak faham walau sepatah. Bukan bahasa Jerman, dan bukan juga Perancis.

Tiba-tiba si kecil mula mencebik. Si ayah cuba menggomol perut si kecil, namun emosi menguasai si kecil. Nadanya kian tinggi, dan nyaring. Seluruh koc bergema. Ayahnya tidak mengalah. Dikeluarkan pisang, memancing minat si anak. Tidak berjaya, pisang dipenyek ke lantai.

Ayahnya masih tenang. Wajahnya langsung tidak gelisah. Kelihatan ayahnya berbisik-bisik pada si anak. Bagaikan magis, si anak kecil terdiam. Lebih ajaib, pisang tadi di makannya (ayahnya telah membuang bahagian yang rosak).

Si anak ketawa. Si ayah tersenyum. Saya kehairanan.

Sampai di Appenweier, kami berpisah. Memilih haluan sendiri. Saya bermati-matian memarahi diri kerana berat mulut bertanyakan rahsia si ayah.

Tulisan ini juga turut dinukilkan di https://www.facebook.com/syoknyakahwinbeb

No comments:

Post a Comment